KUANTAN - Perjalanan pulang sepasang suami isteri ke rumah mereka di
Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan di Kertih,
Terengganu berakhir tragedi apabila kedua-dua mereka terbunuh selepas
kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 205.3 Lebuhraya Pantai
Timur (LPT) berhampiran Gambang dekat sini, petang kelmarin.
Dalam nahas kira-kira jam 6.30 petang itu, pengatur cara komputer,
Ahmad Hakimi Ahmad Rabudzi, 31 dan isterinya, Siti Rohani Abdul Halim,
26 yang bekerja di sebuah bank di Shah Alam meninggal dunia di tempat
kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Lebih memilukan, anak sulung pasangan itu, Ahmad Uzair, 6 bulan
mengalami kecederaan parah di kepala selepas tercampak keluar dari
kereta setelah terlepas dari pangkuan ibunya sebelum jatuh di permukaan
jalan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff
berkata, tiga sekeluarga itu dipercayai dalam perjalanan dari arah
Kertih menuju ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Mohd Hakimi
dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan dan melanggar
pengadang di tengah jalan lalu tercampak ke laluan bertentangan.
“Sebuah kereta dipandu, Kow Hong Seng, 31, dari Lorong Seri Kuantan, di
sini, datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan cuba mengelak
kereta mangsa menyebabkan kenderaan itu turut terbabas melanggar besi
pengadang di tengah laluan,” katanya ketika dihubungi di sini, petang
semalam.
Mohd Jasmani berkata, bagaimanapun pemandu itu terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Mayat kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kenderaan mereka berjaya
dikeluarkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat
Taman Tas bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang
tiba ke lokasi selepas dihubungi.
“Anak mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan
(HTAA) Kuantan oleh saudara mara yang tiba di tempat kejadian setelah
menyedari kemalangan menimpa mangsa itu,” katanya.
Menurutnya, mayat pasangan itu dibawa ke Unit Forensik hospital sama
untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga untuk dikebumikan.
“Polis masih menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kemalangan
yang meragut nyawa pasangan itu manakala kes disiasat mengikut Seksyen
41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber : Sinar Harian


No comments:
Post a Comment